Pupuk usaha pelihara warisan budaya Melayu

Posted by info.mcys info.mcys
Options


PELITA BRUNEI - BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 Oktober. - Peserta bicara budaya yang menyertai Festival Kebudayaan Perkahwinan Etnik Melayu Di Brunei Darussalam selama empat hari sejak 21 Oktober 2013 berakhir dengan menerima sijil pada Majlis Penutup di Atrium Tingkat Bawah, Airport Mall Berakas, di sini, petang tadi.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha selaku Wakil Peribadi Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos hadir selaku tetamu kehormat.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada wakil-wakil dari Majlis Belia Brunei, Kumpulan Putra Seni, Persatuan Asterawani, Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, Pusat Pembangunan Belia, Sekolah Perdagangan, Sekolah Menengah Menglait, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Jabatan Pusat Sejarah, Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Muzium-Muzium Brunei.

Terdahulu, Pemangku Pengarah Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Dr. Karim bin Pengiran Haji Osman selaku Pengerusi Bersama Festival Kebudayaan Perkahwinan Etnik Melayu Di Brunei Darussalam berkata festival tersebut merupakan projek julung-julung kalinya dianjurkan oleh Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS dengan kerjasama Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Muzium-Muzium Brunei.

Menurutnya, ianya adalah usaha untuk memelihara dan mengembangluaskan warisan budaya tujuh etnik Melayu di Negara Brunei Darussalam supaya tidak pupus dan diketahui oleh generasi hari ini dan juga akan datang.

Melalui festival ini tambahnya, juga dihasratkan akan mewujudkan kesedaran kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai keunikan upacara atau adat majlis perkahwinan tujuh etnik Melayu di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa festival ini telah dapat mengumpulkan ke tujuh-tujuh etnik Melayu jati Brunei dalam satu masa iaitu etnik Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Belait, Dusun, Murut dan Bisaya.

"Pengumpulan ini adalah satu kejayaan kita dalam menyatukan ketujuh-tujuh etnik ini dalam menjayakan festival seumpama ini yang menggabungkan tiga komponan utama iaitu persembahan perkahwinan etnik, pameran dan bazar dan sesi bicara budaya oleh pakar-pakar etnik dan ahli-ahli akademik," ujarnya.

Festival Perkahwinan ini terangnya adalah sebagai langkah awal ke arah lebih banyak festival kebudayaan yang akan mereka anjurkan di masa yang akan datang.

Sebanyak 13 resolusi dalam festival berkenaan telah disampaikan oleh Pengiran Dr. Karim antaranya iaitu projek pemetaan budaya perlu diadakan bagi mendokumentasi dan membuat kajian mengenai warisan budaya tujuh etnik Melayu di negara ini, memperbanyakkan lagi kajian dan penyelidikan-penyelidikan adat resam dan warisan budaya tujuh etnik Melayu di negara ini.

Resolusi itu juga mengetengahkan untuk menjadikan bahasa tujuh etnik Melayu sebagai salah satu mata pelajaran pilihan bagi penuntut-penuntut di peringkat menengah, mengadakan program-program warisan budaya tujuh etnik Melayu secara berterusan di seluruh negara, perlunya ada perhubungan bagi menghubungkaitkan ketujuh-tujuh etnik Melayu di negara ini.

"Disaran agar setiap etnik Melayu di negara ini menubuhkan persatuan etnik masing-masing bagi memastikan identiti setiap etnik dapat dipelihara dan digunapakai dan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga warisan budaya negara ini sama ada ketara tidak ketara," jelasnya dalam resolusi itu.