Quantcast

Perasmian galeri mempromosi Sukan Olimpik London 2012

Posted by info.mcys info.mcys  
Report Content as Inappropriate
Options


Pelita Brunei - BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Julai. - Pameran Galeri Kesenian 'The Spirit of The Games' telah dilancarkan hari ini di Galeri Seni Waterfront di ibu negara yang memaparkan sejumlah 32 penyertaan dari Pertandingan Seni 'The Spirit of The Games' yang telah diadakan pada 11 April hingga 6 Jun 2012 yang lalu.

Pameran kesenian itu akan berlangsung sehingga Majlis Perasmian Sukan Olimpik London 2012 pada hari Jumaat, 27 Julai 2012 nanti.

Galeri pameran kesenian tersebut dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British, Tuan Yang Terutama Rob Fenn dan Presiden Brunei Art Forum, Dato Paduka Awang Haji Shofry Haji Abd. Ghafor.

Pameran bertujuan antara lain untuk mempromosikan London 2012 Games serta menggalakkan kreativiti, inovasi dan penghayatan seni di negara ini dengan memanfaatkan bakat artis-artis tempatan dengan menyediakan 'platform' untuk kemahiran mereka, sekali gus memberi mereka satu matlamat untuk terus berusaha dalam semangat 'The Spirit of the Games'.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapan perasmiannya, dengan membawa masuk semangat Sukan Olimpik London 2012 ke Negara Brunei Darussalam oleh Suruhanjaya Tinggi British, merupakan cara yang unik di mana semangat tersebut dapat dikongsi bersama bagi melambangkan dan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan mesra antara Negara Brunei Darussalam dengan United Kingdom agar sukan berprestij itu lebih dekat kepada hati dan minda rakyat Brunei.

Yang Berhormat menambah, Olimpik London mempunyai kepentingan khas bagi negara ini kerana buat pertama kalinya negara akan menghantar atlet wanita yang pertama ke Sukan Olimpik tersebut dengan harapan bahawa di masa akan datang akan lebih banyak lagi atlet, sama ada atlet wanita mahupun lelaki akan mampu bersaing di peringkat dunia dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan sepenuhnya komited membantu atlet negara untuk mencapai potensi mereka.

"Saya sedar bahawa atlet kita masih perlu banyak berusaha agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa seperti Sukan Olimpik namun melalui galakkan dan dedikasi serta pencapaian yang ditunjukkan setakat ini, saya yakin bahawa Brunei juga boleh menghasilkan olahragawan dan olahragawati yang terbaik untuk mengambil tempat menjadi atlet terbaik di rantau ini jika tidak di taraf dunia," tambah Yang Berhormat lagi.

Dalam pada itu, semangat Olimpik adalah satu cara untuk menggalakkan belia dan masyarakat umum khususnya dalam sukan agar mereka boleh bersaing dan mempunyai keghairahan untuk menyertai sukan di peringkat yang lebih tinggi di samping ianya juga dapat menjana kehidupan yang sihat, bersatu dan negara yang aman.

Selain itu, KKBS juga telah bergabung tenaga dengan agensi-agensi lain dalam memulakan peluang yang lebih luas bagi Brunei untuk mencebur bidang industri kreatif, kerana industri ini hanya boleh dilakukan jika orang ramai boleh menjadi pasaran yang berdaya maju, tanpa dibatasi oleh sempadan pasir yang bersifat global dan ianya penting untuk dijadikan sebagai satu sumber pendapatan penting negara.

Terdahulu Pesuruhjaya Tinggi British, TYT Rob Fenn menerangkan bahawa Galeri Waterfront merupakan lokasi yang ideal untuk persembahan kesenian ini bagi membolehkan orang awam berkunjung dan mengagumi hasil seni yang hanya dapat dilihat pada Majlis Resepsi Hari Lahir Queen pada 12 Jun.

Menurut TYT lagi Undi Awam bagi penyertaan untuk pertandingan ini akan dipaparkan melalui laman sosial Facebook www.facebook.com/ukinbrunei pada hari Selasa, 3 Julai dan gambar dengan 'likes' yang paling banyak selewatnya pada hari Jumaat, 27 Julai nanti, akan memenangi 'Road to 2012' National Portrait Gallery Publication.

Pameran seni itu diilhamkan oleh Olimpik London 2012 yanga mana ianya tidak hanya berfokus kepada sukan tetapi juga pada seni dan budaya. Dengan Olimpik Kebudayaan mengambil tempat di sekitar UK semasa Sukan Olimpik.

Ia akan menjadi perayaan terbesar yang tidak akan dilupakan dalam sejarah kebudayaan dan seni di Britain.

Dari pameran utama perdana kepada pameran tempatan, London 2012 Festival akan meraikan bakat artistik Britain dan mempamerkan budaya yang terbaik dari seluruh dunia bagi menandakan UK sebagai salah satu daripada destinasi kebudayaan yang agung.

Taman Olimpik itu sendiri mempunyai 'state-of-the-art', dan terdapat pelbagai seni yang imaginatif dan memberikan sumber inspirasi dalam pengukuhan budaya seperti struktur 'Run' dan 'Orbit' yang berdiri 115 meter tinggi. Orbit adalah seni struktur yang tertinggi di Britain, dan menawarkan pemandangan yang menakjubkan ke Stadium Olimpik, Taman Olimpik dan merentasi seluruh London.

Satu program telah diadakan untuk mengekalkan hasil seni agar bersepadu dengan seni bina British yang berkualiti tinggi dalam kejuruteraan Taman Olimpik, bermula dari jambatan dan laluan bawah yang direka oleh artis, skim penanaman, pagar keselamatan serta diadakan dengan fasa besar-besaran dan seni projek dalam taman ini telah disokong oleh beberapa penaja, termasuk Greater London Authority, Arts Council England, London Development Agency dan Forward Arts Foundation.

(Oleh : Khartini Hamir)
Loading...