Quantcast

Menjaga warga emas tanggungjawab sosial

Posted by info.mcys info.mcys  
Report Content as Inappropriate
Options


Kerajaan di Negara Brunei Darussalam meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap isu-isu warga emas dan memastikan mereka mendapat manfaat dari perkembangan sosioekonomi negara secara keseluruhan.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-7 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ke-3 +3, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata menjadi Melayu Islam Beraja dan menjadi sebahagian warisan Asia secara am, kebajikan warga tua dan menghormati mereka dianggap sebagai tanggungjawab penting keluarga secara langsung.

"Sistem keluarga luas masih diamalkan di mana ibu bapa, nenek dan saudara lain masih hidup bersama di bawah satu bumbung. Ianya tidak memerlukan rumah warga emas atau institusi penjagaan bagi warga emas di Negara Brunei Darussalam," jelas Yang Berhormat di majlis yang diadakan di Empire Hotel dan Country Club, di sini.

Oleh itu, negara ini jelas Yang Berhormat cuba menanam rasa cinta dan kasih sayang terhadap warga emas di kalangan kanak-kanak dan mendidik seluruh masyarakat untuk menjaga warga emas sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Kami mengingatkan anak-anak kami akan pengorbanan warga emas yang membesarkan mereka. Adalah tidak boleh diterima bahawa warga emas di masa lalu boleh menjaga dan membesarkan 10 orang anak, manakala anak-anak hari ini tidak dapat atau tidak mampu membalas jasa orang tua ketika mereka sudah berusia," ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata negara-negara sepatutnya sekarang melaksanakan dasar-dasar penyertaan aliran dan dasar kehidupan yang menyokong penuaan yang aktif.

Menurut Yang Berhormat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman warga emas boleh digunakan sebaiknya untuk memberitahu kepada generasi lebih muda akan kepentingan nilai-nilai keluarga yang dibina oleh setiap masyarakat, iaitu saling hormat-menghormati serta mengongsikan tanggungjawab dan kerjasama.

Tanggungjawab ibu bapa dalam memberi penjagaan jelasnya sepatutnya dilihat dari aspek rasa bersyukur dan timbal balik dan untuk membolehkan perkara itu Yang Berhormat berpendapat ianya memerlukan perubahan cara berfikir.

"Halangan-halangan berdasarkan diskriminasi patut dihapuskan. Sepatutnya ada kerjasama antara generasi dalam menetapkan dasar-dasar bagi warga emas," terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata adalah penting bagi dasar-dasar berpremiskan pada penuaan yang aktif dan penyertaan aktif warga yang lebih tua dalam seluruh aspek kehidupan. - Pelita Brunei
Loading...