Quantcast

Belia perlu 'daya tahan diri' menangkis gejala buruk globalisasi

Posted by info.mcys info.mcys  
Report Content as Inappropriate
Options


Pelita Brunei - BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 6 Oktober. - Para belia amat perlu untuk memiliki 'daya tahan diri' yang tinggi bagi menangkis segala gejala buruk dan jahat yang dicetuskan oleh globalisasi kerana mereka merupakan benteng yang paling diharapkan.

Demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Hari Belia Ke-7, Tahun 2012, berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa selaku warga dunia, Negara Brunei Darussalam adalah tidak terkecuali dari berhadapan dengan cabaran-cabaran yang dicetuskan oleh globalisasi.

Ledakan teknologi maklumat yang semakin pesat dan canggih, titah baginda lagi, menyediakan ruang amat mudah untuk menyalurkan pelbagai agenda globalisasi itu, yang sesetengahnya membawa implikasi positif ataupun sebaliknya, terhadap aneka aspek kehidupan.

Baginda seterusnya bertitah, di antara aspek paling mudah untuk dimasuki ialah sosiobudaya sesebuah negara dan bangsa di mana ia akan melibatkan, terutamanya generasi belia dan malah ummah seluruhnya.

"Inilah cabaran yang sangat perlu disedari. Kelalaian kita menghadapinya akan membawa padah dan bencana," titah baginda.

Menyentuh tentang gelora yang dihadapi dunia ketika ini akibat tusukan tsunami bernama 'Innocence of Muslims' iaitu sebuah filem menghina Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang juga bererti menghina agama Islam sendiri, baginda bertitah, umat Islam dituntut untuk menolaknya dan malah berhak untuk menyekat saluran laman sesawang, di mana ia berkaitan.

Kerana sesungguhnya, titah baginda, menghina Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah suatu perbuatan yang tidak bertamadun lagi tidak bermoral, yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.

"Oleh itu pendirian kita adalah tegas membantahnya dan malah tidak boleh bertolak ansur untuk menerimanya sebagai kebebasan bersuara atau 'freedom of speech', kerana tiada siapa pun yang berhak untuk menghina sesuatu pihak, apatah lagi menghina seorang Nabi."

Baginda seterusnya bertitah, pendirian kita ini juga adalah selaras dengan pendirian kebanyakan negara di dunia, khususnya negara-negara anggota OIC, titah baginda lagi.

Ketika bertitah Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengingatkan bahawa, perbuatan menghina Nabi atau menghina agama dalam apa pun bentuknya, adalah tidak akan ada titik noktahnya, selama mana masih ada matahari dan bulan. Tinggal sahaja, kita amat perlu waspada dan bijaksana menghadapinya.

"Kita umat Islam tidak usahlah hilang punca, tetapi yang penting, suburkan ilmu agama di dada, dan mintalah kepada Allah supaya Dia menetapkan iman, agar kita tidak terpedaya dengan agenda-agenda jahat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," titah baginda seterusnya.

Kepada para belia, Kebawah DYMM bertitah mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Kebangsaan 2012.

(Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim)
Loading...