Pelita Brunei - JERUDONG, Sabtu, 12 Mei. - Persatuan Singapura di negara ini tengah hari tadi telah mengadakan Majlis Makan Tengah Hari dan Penyampaian Sumbangan Derma kepada tiga buah Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) bertempat di Members Grill and Lounge, The Empire Hotel and Country Club, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman.
Pada majlis tersebut, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) Kebangsaan dan SMARTER Brunei masing-masing menerima sumbangan derma berjumlah BND2,000 daripada Persatuan Singapura.
Sumbangan disampaikan oleh Presiden Persatuan Singapura, Patrick Ang kepada tetamu kehormat dan kemudian menyerahkan sumbangan tersebut kepada wakil dari persatuan masing-masing.
Mewakili Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam ialah Pengurus Pemegang Amanah Kanan, Pusat Ehsan Kampung Bengkurong, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Alimin bin Haji Abd. Wahab, mewakili Persatuan OKP Kebangsaan ialah Presidennya, Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Md. Yassin dan SMARTER Brunei juga diwakili oleh Presidennya iaitu Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.
Setiap persatuan juga masing-masing menerima sebanyak lima biji komputer yang disumbangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Joseph Koh.
Ini adalah sebahagian daripada usaha Persatuan Singapura untuk membantu dan rasa pemedulian kepada mereka yang memerlukan dan kurang upaya.
(Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad)